Khamis, 21 Februari 2013

SELAMAT DATANG KE HOMESTAY IMPIAN KASIH



Assalamualaikum dan selamat datang ke Homestay Impian Kasih. Inginkan percutian yang mendamaikan dan selesa dengan suasana kampung? Apa kata cuba bermalam di homestay impian kasih dan anda akan menikmati keindahan suasana kampung dikelilingi pokok-pokok dan udara yang segar.

Homestay Impian Kasih terletak hanya bersebelahan dengan Pusat Rekreasi Air Panas Gadek, Alor Gajah Melaka dan lebih kurang 10 minit dari Pusat Rekreasi A'Famosa Resort. Pekan Alor Gajah hanya 10 minit dari Homestay Impian Kasih, manakala Pekan Tampin terletak kira-kira 15 minit dari Homestay Impian Kasih. Bagi pengunjung yang terlupa membawa barang keperluan, usah khuatir kerana terdapat pasaraya dan kedai runcit yang terletak di Kampung Gadek (Rujuk Peta Lokasi).

Homestay Impian Kasih mempunyai 3 bilik tidur dan 2 bilik air/tandas. Setiap bilik dilengkapi dengan katil bersaiz 'Queen' dan kipas siling. Terdapat kawasan ruang tamu yang luas dan selesa. Juga terdapat 2 meja makan di bahagian ruang makan yang bersebelahan. Satu tips untuk pengunjung, apa kata kalau cuba bersarapan/minum petang 'bersila' di kawasan santai bahagian luar dapur di mana pengunjung dapat menikmati hidangan sambil menghirup udara segar.

Di sekeliling laman Homestay Impian Kasih, terdapat pohon-pohon kelapa, pokok mata kucing, pokok manggis dan juga pokok belimbing buluh. Pada ketika musim buah, pengunjung dibenarkan untuk memetik dan makan buahan tersebut tetapi tidak dibenarkan untuk dibawa pulang. Pengunjung juga boleh membuat aktiviti 'barbeque' di mana kami telah menyediakan kawasan dan alat untuk aktiviti ini.

Kawasan laman homestay kami yang berpagar dan luas boleh memuatkan sehingga 7 kereta untuk 'parking'. Bagi pengunjung yang datang dengan bas, usah khuatir kerana terdapat sebatang jalan di sebelah jalan besar yang muat bagi 1 ke 2 bas untuk parking dan pengunjung hanya perlu berjalan sejauh 50 meter dari tempat parking bas ke homestay kami.